Skip to main content

KALKULATOR PCB : FAHAMI CARA PENGGUNAAN KALKULATOR PCB YANG BETUL

KALKULATOR PCB : FAHAMI CARA PENGGUNAAN KALKULATOR PCB YANG BETUL

Kalkulator PCB merupakan salah satu alat bantu pengiraan PCB yang disediakan oleh LHDNM di laman webnya.  Bagi majikan yang tidak mempunyai sistem payrol berkomputer, mereka bolehlah menggunakan kalkulator ini untuk menentukan PCB pekerja.

Bagi pekerja pula, Kalkulator PCB ini amat berguna dalam membantu anda menyemak semula potongan cukai yang dibuat oleh majikan, sama ada ianya tepat atau tidak. 

Sama ada anda majikan atau pekerja, adalah amat penting untuk memahami setiap istilah kata dan fungsi dalam Kalkulator PCB bagi membolehkan anda mendapat hasil pengiraan yang tepat! 
Rajah 1 : Kalkulator PCB sesuai digunakan dalam Internet Explorer


3 FAKTA PENTING MENGENAI KALKULATOR PCB :

  1. Boleh dicapai melalui alamat web KALKULATOR PCB 
  2. Paparan paling sesesuai adalah dengan menggunakan Internet Explorer sebagai pelayar.
  3. Kalkulator ini tidak menyimpan maklumat pengiraan.  Pengguna hendaklah membuat cetakan selepas selesai mengira PCB.
  4. Tidak ada fungsi untuk membuat bayaran.  Majikan yang menentukan PCB menggunakan Kalkulator PCB bolehlah meneruskan bayaran menggunakan sistem e-CP39.

LANGKAH 1 : PILIH TUJUAN PENGIRAAN 

Rajah 2 : Paparan hadapan Kalkulator PCB


Sebelum anda boleh masuk ke bahagian pengiraan, sistem akan minta anda masukkan tahun taksiran dan kemudian memilih salah satu antara dua kotak berikut :

a)    PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA, atau

b)    TIDAK PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA.

PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA
 
'Tahun semasa' bermaksud tahun pengiraan ini hendak dibuat.  Jika pengiraan PCB yang hendak dibuat adalah PCB untuk gaji tahun 2020, maka tahun 2020 adalah tahun asas.
 
'Pernah bekerja sebelum ini dalam tahun semasa' bermaksud anda / pekerja pernah berkerja pada bulan-bulan sebelum bulan semasa.  Bulan semasa merujuk kepada bulan di mana potongan PCB hendak ditentukan. 
 
Sebagai contoh, anda adalah seorang majikan yang ingin menentukan PCB pekerja anda bagi bulan September tahun 2020.  Maka, bulan September adalah 'bulan semasa' dan tahun 2020 pula adalah 'tahun semasa'.
 
Petak 'PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA' ini akan membolehkan anda membuat pengiraan PCB bagi bulan selain Januari, di mana nanti anda wajib memasukkan jumlah terkumpul bagi saraan, potongan, rebat dan PCB bermula Januari sehingga bulan sebelum bulan semasa.
 
TIDAK PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA 

Ada dua situasi di mana anda WAJIB memilih petak ini iaitu :

  • jika hendak membuat pengiraan PCB bagi bulan Januari sahaja, atau

  • bulan selain Januari di mana bulan tersebut adalah bulan pertama gaji bagi seorang pekerja dan pekerja ini tidak pernah menerima apa-apa pendapatan penggajian bermula Januari tahun semasa sehingga bulan sebelum bulan semasa.

Sebagai contoh, syarikat anda ada menggaji seorang pekerja baru yang mula bertugas dalam bulan April 2020.  Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pekerja ini, sejak Januari 2020, beliau tidak pernah bekerja di mana-mana pun sehinggalah dia diterima bekerja di syarikat anda.  Dalam situasi ini, jika hendak menentukan PCB bulan April bagi pekerja ini, anda WAJIB memilih petak (b) iaitu 'TIDAK PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA'. 
 
Macam mana pula kalau pekerja tadi maklumkan dari bulan Januari 2020 sehingga Mac 2020 beliau pernah bekerja dengan majikan lain? Dalam situasi ini, majikan bolehlah minta pekerja kemukakan maklumat mengenai jumlah terkumpul pendapatan, jumlah terkumpul potongan KWSP, jumlah terkumpul lain-lain potongan jika ada, jumlah terkumpul rebat jika anda, dan jumlah terkumpul PCB jika ada bagi tempoh Januari sehingga Mac 2020.  Majikan boleh minta pekerja lengkapkan borang Borang TP3 untuk tujuan ini.  
 
Borang ini hanya untuk kegunaan majikan sahaja dan tidak perlu dikemukakan ke LHDN.  Majikan wajib simpan borang ini untuk tempoh 7 tahun.  Selain itu tidak menjadi kewajipan untuk majikan memastikan kesahihan maklumat yang dikemukakan oleh pekerja dalam borang tersebut.  Terimalah borang tersebut dengan suci hati.

LANGKAH 2 : MASUKKAN MAKLUMAT ASAS PEKERJA 


Rajah 3 : Maklumat asas pekerja

Tidak kira sama ada anda pilih petak PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA atau TIDAK PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA, anda akan tetap perlu memasukkan maklumat asas ini.  Ini adalah pemboleh ubah yang penting dalam penentuan PCB pekerja. 

1)    NAMA

         Masukkan nama pekerja yang hendak ditentukan PCBnya

2)   NOMBOR PENGENALAN DIRI

         Masukkan nombor KP atau nombor Passport pekerja

3)   BULAN

Pilih bulan mengikut bulan gaji.  Jika PCB hendak ditentukan berdasarkan gaji Oktober, maka bulan yang perlu dipilih adalah bulan Oktober.  Ramai majikan selalu tersilap memilih bulan kerana keliru dengan bulan ketika pengiraan hendak dibuat.  Ada majikan membayar gaji pekerja pada minggu pertama bulan berikutnya.  Mungkin kerana mengikut Undang-undang Buruh, gaji boleh dibayar paling lewat 7hb bulan berikutnya.  

Sebagai contoh, Syarikat ABC Sdn Bhd akan membayar gaji bulan September 2020 pada 6hb Oktober 2020.  Jadi pada 4hb Oktober 2020, kerani gaji di Syarikat ABC Sdn Bhd mula membuat pengiraan PCB berdasarkan gaji kasar yang akan diterima oleh setiap pekerja.  Ketika menggunakan Kalkulator PCB, kerani gaji ini telah tersilap memilih bulan Oktober 2020, sedangkan sepatutnya dia memilih bulan September 2020.

4)    STATUS

Ada 4 status yang perlu dipilih di sini iaitu PEMASTAUTIN, BUKAN PEMASTAUTIN, PROGRAM PEKERJA BERKEPAKARAN PULANG DARI LUAR NEGARA (REP) dan PEKERJA BERPENGETAHUAN ( IRDA) 

Pemastautin atau bukan pemastautin di sini adalah berdasarkan taraf pemastautin sepertimana yang ditentukan oleh Sekyen 7 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.  Kelazimannya, pekerja tempatan yang memang menetap di Malaysia adalah pemastautin. Manakala bagi pekerja asing pula, difahamkan ada konsesi (kemudahan) yang diberikan oleh LHDNM ke atas majikan di mana,

  • jika, pekerja asing itu jelas dalam kontraknya, akan berkhidmat di Malaysia melebihi tempoh 183 hari, dan  

  • majikan meyakini bahawa pekerja ini mampu memenuhi syarat-syarat bermastautin di Malaysia berdasarkan ACP 1967

maka majikan boleh terus menentukan PCB pekerja asing tersebut sebagai PEMASTAUTIN, walaupun ketika itu pekerja tersebut masih belum memenuhi syarat-syarat sebagai pemastautin.  

Jika PCB pekerja ditentukan sebagai BUKAN PEMASTUTIN, kadar cukai yang akan dikenakan adalah sangat tinggi.  Rujuk kadar cukai bukan pemastautin.  Bagaimanapun majikan juga perlu bersedia untuk menanggung apa-apa kurangan cukai jika terdapat pekerja asing yang pulang ke negara asal sebelum dapat memenuhi syarat-syarat sebagai pemastautin. Anda dinasihatkan supaya menghubungi pihak LHDN untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai konsesi ini.

Manakalah bagi REP dan IRDA pula, kedua-dua status ini hanya layak dipilih jika mendapat pengesahan dari Menteri Kewangan.

 

5) STATUS PERKAHWINAN 

Ada 4 jenis status perkahwinan yang boleh dipilih iaitu 

      • BUJANG / PASANGAN TIDAK MENUNTUT PELEPASAN ANAK
Pilih status ini kalau pekerja itu adalah bujang, ataupun jika dia sudah berkahwin tetapi dia tidak mahu menuntut pelepasan anak.
      • BERKAHWIN DAN PASANGAN TIDAK BEKERJA
Pilih status ini kalau pekerja itu sudah berkahwin dan pasangannya tidak bekerja (suri / sura rumah sepenuh masa)
      • BERKAHWIN DAN PASANGAN BEKERJA 
Pilih status ini kalau pekerja itu sudah berkahwin dan pasangannya juga bekerja atau ada sumber pendapatan.
      • DUDA / BALU / JANDA

Pilih status ini sesuai dengan maksudnya.

 

 6) INDIVIDU KURANG UPAYA

Tandakan YA jika pekerja itu adalah individu kelainan upaya.

 7) PASANGAN KURANG UPAYA

Tandakan YA jika pasangan pekerja itu adalah individu kelainan upaya.  

 8) ANAK (kandung / tiri / angkat) 

Masukkan bilangan anak mengikut kategori yang betul.  Ada dua kolum kadar kelayakan iaitu 100% dan 50%.

Dalam keadaan biasa, sila gunakan kolum 100%.

Kolum  50% hanya digunakan dalam keadaan pasangan yang sudah berpisah, tetapi masih ingin menuntut pelepasan ke atas bilangan anak yang sama.

Sebagai contoh, Encik A dan Puan Z masing-masing telah lama berpisah.  Hasil perkahwinan mereka, mereka mempunyai 3 orang anak, yang mana ketiga-tiga anak ini masih berumur di bawah 18 tahun.  Sekiranya Encik A dan Puan Z masih lagi bersama sebagai pasangan suami isteri, Akta Cukai Pendapatan tidak membenarkan kedua-dua pasangan ini menuntut pelepasan cukai ke atas bilangan anak yang sama (3:3), sebaliknya mereka perlulah membuat pembahagian sama ada seorang sahaja menuntut pelepasan untuk semua anak (3:0), ataupun seorang pasangan tuntut pelepasan 2 orang anak, manakala seorang lagi tuntut pelepasan untuk seorang anak (2:1).

Bagaimanapun bagi kes pasangan yang sudah berpisah, mereka boleh menuntut pelepasan atas bilangan anak yang sama (3:3), dengan syarat kadar pelepasan yang boleh dituntut hanyalah 50% dari jumlah pelepasan sebenar. 

Dalam tahun 2020, kadar pelepasan cukai bagi seorang anak yang berumur 18 dan ke bawah adalah RM2000 untuk setiap seorang.

 

LANGKAH 3 : MASUKKAN JUMLAH SARAAN / PCB / REBAT / POTONGAN TERKUMPUL

 

Add caption

Ini adalah maklumat yang wajib dimasukkan sekiranya tadi anda memilih petak PERNAH BEKERJA SEBELUM INI DALAM TAHUN SEMASA ketika di Langkah 1 di atas. Anda perlu memasukkan jumlah terkumpul bagi kesemua item dari bulan Januari tahun semasa sehingga bulan sebelum bulan semasa, termasuk dari majikan lama (jika berkaitan).

Fahami jenis-jenis pendapatan / saraan yang tertakluk kepada PCB di sini.

TIP PENTING!
  • Jumlah potongan KWSP tidak boleh melebihi RM4000.  Jika jumlah potongan KWSP melebihi RM4000, maka amaun yang boleh dimasukkan hanyalah RM4000 sahaja.
  • Jumlah terkumpul zakat & fitrah yang boleh dimasukkan adalah adalah zakat & fitrah yang dibuat melalui potongan gaji sahaja.   
  • Jumlah untuk Lain-lain potongan terkumpul juga merujuk kepada potongan-potongan yang telah dibuat melalui potongan gaji / telah diambil kira dalam penentuan PCB bulan-bulan sebelum bulan semasa.

LANGKAH 4 : MASUKKAN JUMLAH SARAAN BULAN SEMASA


Saraan  bulan semasa merujuk kepada saraan kasar yang diterima dalam bulan di mana PCB hendak ditentukan.

Amaun lain yang perlu dimasukkan adalah KWSP bulan semasa, dan nilai MBB dan NTK bagi bulan semasa.


TIP PENTING!
  • Jumlah potongan KWSP bagi bulan semasa dan KWSP terkumpul tidak boleh melebihi RM4000.  Jika jumlah potongan KWSP terkumpul sudah mencapai RM4000, maka amaun KWSP bulan semasa yang boleh dimasukkan adalah RM'0'.  Jikan KWSP terkumpul adalah RM3960, maka KWSP bulan semasa yang boleh masukkan hanyalah RM40 sahaja. 
  • Mulai tahun 2015, MBB dan NTK wajib diambil kira dalam penentuan PCB.  Majikan perlu menentukan MBB dan NTK dari awal tahun semasa, kemudian dapatkan purata untuk 12 bulan.  Nilai purata inilah yang perlu dimasukkan dalam penentuan PCB setiap bulan.
  • Rujuk Ketetapan Umum Berkaitan MBB untuk MBB, dan KU Bilangan 3/2005 dan KU Bilangan 3/2005 (Tambahan) untuk NTK


LANGKAH 5 : SARAAN TAMBAHAN BULAN SEMASA


Apakah yang dimaksudkan dengan SARAAN TAMBAHAN BULAN SEMASA? Saraan tambahan bulan semasa merujuk kepada saraan yang kebiasaannya bukan dibayar pada setiap bulan.  Sebagai contoh bayaran bonus adalah bayaran yang bukan dibayar secara bulanan.  Begitu juga bayaran Yuran Pengarah. Yuran pengarah kebiasaannya dibayar sekali atau dua kali dalam setahun.  Namun jika bayaran yuran pengarah dibayar secara bulanan, maka bayaran ini hendaklah dianggap sebagai bayaran saraan bulan semasa.

TIP PENTING!
  • Jumlah semua potongan KWSP yang terkumpul, KWSP bagi bulan semasa dan KWSP bagi saraan tambahan tidak boleh melebihi RM4000.


LANGKAH 6 : MASUKKAN AMAUN POTONGAN BULAN SEMASA (JIKA ADA)


Terdapat 14 jenis potongan cukai yang boleh dituntut oleh pekerja dalam pengiraan PCB mereka.  Kebiasaannya tuntutan ini dibuat oleh individu bila melapor pendapatan ketika musim e-filing.  Tetapi  sebenarnya tuntutan yang sama juga boleh dibuat pada bulan perbelanjaan itu dilakukan.  

Di pihak majikan, tidaklah menjadi kewajipan untuk memasukkan pelepasan ini ketika menentukan PCB pekerja.  Apatah lagi ini adalah suatu beban kerja bagi majikan yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai.

Di pihak pekerja, jika mahu majikan mengambil kira potongan-potongan di atas dalam penentuan PCB bulanan anda, anda bolehlah kemukakan borang TP1 kepada majikan anda.  Tetapi perlu diingatkan, bukan kewajipan anda untuk mengambil tindakan ke atas borang tersebut.  Tidak mengapa, nanti tuntutlah pelepasan-pelepasan tersebut bila tiba musim e-filing nanti.


LANGKAH 7 : MASUKKAN AMAUN POTONGAN ZAKAT / REBAT BULAN SEMASA


Masukkan amaun potongan zakat dan bayaran LEVI (jika ada).  Potongan zakat di sini adalah potongan zakat yang dibuat melalui potongan gaji sahaja.


LANGKAH 8 : TEKAN BUTANG KIRA


Akhir sekali, jika sudah puas hati dengan semua maklumat di atas, maka janganlan malu dan segan untuk tekan butang KIRA.  Lihat berapakah amaun PCB yang patut dipotong pada bulan ini.

Oh ye, jangan lupa CETAK keputusan pengiraan anda.

Bagi majikan pula, bayaran bolehlah dikemukakan menggunakan sistem e-CP39.


Comments

Popular posts from this blog

Masalah Berkaitan ePCB : Maklumat Pengiraan PCB Bagi Bulan-Bulan Berikutnya Telah Dimasukkan, Sila Hapuskan Maklumat Berkenaan Bagi Meneruskan Pengiraan Bagi Bulan Ini

  Gambar 1 : Paparan makluman pengiraan bulan berikutnya telah dibuat Ramai yang buntu bila terkena masalah ini, di mana selepas pilih pekerja yang hendak ditentukan PCBnya, sistem pula tidak mahu pergi ke peringkat pengiraan.  Sebaliknya sistem mengeluarkan catatan berbunyi "Maklumat PCB bagi bulan-bulan berikutnya bagi tahun semasa telah dimasukkan, sila hapuskan maklumat berkenaan bagi meneruskan pengiraan bagi bulan ini" . PUNCA MASALAH Apa yang berlaku sebenarnya ialah sistem telah mengesan ada pengiraan PCB telah dibuat secara 'in advance' untuk bulan-bulan yang akan datang.  Sebagai contoh, semasa hendak menentukan PCB bagi bulan Mac, majikan entah macam mana tersilap memilih bulan May.  Majikan tidak sedar telah silap memilih bulan dan meneruskan pengiraan sampai ke peringkat bayaran.  Apabila tiba hari untuk majikan buat pengiraan PCB bulan April, sistem tidak membenarkan majikan meruskan pengiraan dan sistem akan paparkan mesej amaran seperti dala...

4 KESALAHAN MAJIKAN BERKAITAN PCB

Kegagalan majikan mematuhi Potongan Cukai Bulanan boleh disabitkan kesalahan di bawah Kaedah 17, Kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994.  Di bawah kaedah ini, mana-mana orang yang tanpa sebab munasabah tidak mematuhi subkaedah 10(1) atau Kaedah 13 adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM200 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.  Jenis-jenis kesalahan di bawah kaedah ini adalah :  Gagal meremitkan bayaran sebelum atau pada 15hb. pada bulan berikutnya. Gagal atau kurang meremitkan bayaran PCB yang telah dipotong daripada saraan pekerja Gagal memotong PCB daripada saraan pekerja Kurang memotong PCB.  PENJELASAN TERPERINCI Gagal Meremitkan Bayaran Sebelum atau Pada 15hb Pada Bulan Berikutnya Majikan sepatutnya mempunyai tempoh masa yang sangat mencukupi untuk mengemukakan data PCB dan meremitkan bayaran PCB ke LHDN iaitu bermula ...